Sejarah tidak boleh menolak, peranan A.L Birch, seorang jurutera British yang membawa set radio pertama ke Malaya pada tahun 1921. Dengan kemasukan radio tersebut, maka tertubuhlah Persatuan Wireless Johor pada tahun 1923, yang memulakan siaran melalui gelombang 300 meter. Pada tahun 1925, Persatuan yang sama juga ditubuhkan di Pulau Pinang. Diikuti pula dengan penubuhan Persatuan Wireless Tanah Melayu di Kuala lumpur pada tahun 1928. Persatuan Wireless Pulau Pinang telah berjaya mendapat lesen yang juga merupakan lessen pertama dikeluarkan di Malaya pada 24 Ogos 1934 atas nama seorang ahli persatuan bernama Khoo Sian Ewe.
Penubuhan Jabatan Siaran Radio di Singapura pada 1 April 1946, secara rasmi menjadi tarikh keramat bermulanya sejarah radio di Malaya. Perkembangan dan keberkesanan Radio Malaya turut mempengaruhi Sabah & Sarawak. Ini kerana pada tahun 1952, telah menyaksi bidang penyiaran secara percubaan bermula di Borneo Utara. Pelancaran Rasmi Radio Sarawak pada tahun 1954 & Radio Sabah pada tahun berikutnya telah membawa era baru kepada rakyat Sabah & Sarawak.
Siaran langsung penurunan The Union Jack & pengisytiharan kemerdekaan yang disiarkan secara langsung oleh Radio Malaya adalah bahan sejarah yang amat penting yang telah dilaksanakan oleh Radio Malaya.
Satu demi satu peristiwa bersejarah Radio Malaya, dibawa kepada pendengarnya. Nyata Radio Malaya adalah amat penting ketika itu untuk menjadi mata, telinga dan mulut rakyat bagi menyatakan matlamat dan arah tuju pentadbiran kerajaan. Selain daripada berperanan untuk menyebar berita, Radio Malaya banyak menyiarkan kejayaan kerajaan dalam membangun Negara. Juga mewujudkan suasana harmoni di kalangan rakyat yang terdiri daripada pelbagai bangsa & agama.
Radio Malaya juga banyak memainkan peranannya dalam membentuk sahsiah diri untuk menyemarak dan memperkayakan pejuang, pelapis, pengamal seni tanah air, radio juga banyak menganjurkan pertandingan. Antaranya bintang radio yang telah melahirkan ramai bintang seni yang disegani hingga ke hari ini.
Peranan stesen radio negeri-negeri juga, banyak membantu kerajaan untuk mendengar dan menyelami permasalahan rakyat. Ini menjadikan RTM sebagai saluran yang berkesan untuk menjadi lidah rakyat & kerajaan. Menyedari masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum & etnik, RTM telah mewujudkan beberapa siaran radio yang mewakili kaum & etnik Malaysia. Keberkesanan stesen radio ini amat ketara & memberi satu impak besar kepada masyarakat. Ianya dapat kita lihat sehingga hari ini.
KELANTANfm merupakan salah satu stesen radio negeri di Malaysia. Slogannya ialah Penuhi Citarasa Anda. Ia diselenggarakan oleh RTM Negeri Kelantan. Ia boleh didengari di seluruh negeri Kelantan dan juga kawasan sempadan seperti Jerteh di Terengganu dan Lipis di Pahang dan Golok di Selatan Negara Thai.
Sejarahnya bermula pada 16 November 1963, dimana Radio Malaysia Kota Bharu mula beroperasi. Perasmian pembukaan pula dilakukan pada 6 November 1964 oleh K.D.Y.M.M. Al-Sultan Kelantan, Sultan Yahya Petra ibni Al-Marhum Sultan Ibrahim Petra. Majlis perasmian tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abd. Razak, Menteri Penerangan dan Penyiaran Malaysia dan juga Menteri Besar Kelantan, Encik Muhammad Asri.RTM Kota Bharu merupakan stesen RTM pertama di Malaysia yang mempelopori siaran daerah.Kos pembinaanya mencecah RM 115 juta dan dilengkapi 3 Studio yang terdiri dari 2 Studio Siaran dan 1 Studio Ceramah. Bangunan ini turut dilengkapi dengan sebuah Panggung ataupun dikenali sebagai Auditorium dan boleh memuatkan lebih kurang 160 orang penonton. Siaran daerah pada masa itu disiarkan hanya beberapa jam sahaja sehari dan mendapat sambutan segenap lapisan masyarakat.
Di awal penubuhannya,Radio Malaysia Kota Bharu merupakan stesen permulaan memulakan siaran daerah kawasan timur berbanding dengan negeri-negeri lain dan berita daerah disampaikan dalam loghat Kelantan. Kakitangan awal radio ini hanyalah seramai 66 orang iaitu dari bahagian teknikal dan rancangan. Pada awal penubuhannya, stesen ini merupakan Ibu Pejabat bagi Kawasan Timur sehinggalah pada tahun 1972.
Pada tahun 1972, fungsinya sebagai Ibu Pejabat telah dipindahkan ke Stesen Radio Televisyen Malaysia Kuala Terengganu yang baru siap dibina.Dengan perpindahan ini maka RTM Kota Bharu menjadi stesen siaran tempatan. Siaran tempatan bermula jam 5.15 petang hingga 6.15 petang. Mulai 1 September 1980 masa siaran tempatan ditambah selama 30 minit lagi untuk siaran sebelah pagi dari jam 8.30 hingga 9.00 pagi. Apabila waktu Semenanjung, Sabah dan Sarawak diselaraskan pada 1 Januari 1982. waktu siaran tempatan juga diubah kepada mulai jam 8.35 pagi hingga 9.00 pagi manakala siaran sebelah petang pada jam 5.45 petang hingga 6.45 petang.Masa siaran tempatan turut diubah pada tahun 1986 apabila siaran tempatan dikenali RMKB yang bermula jam 7.00 pagi hingga 9.00 pagi setiap hari manakala pada tahun 1988 siaran tempatan sebelah petang dimulakan dari jam 4.00 petang hingga 6.00 petang.
Pada tahun 1993, RTM telah mengubah polisinya daripada tiga siaran iaitu siaran kebangsaan, daerah dan tempatan kepada siaran kebangsaan dan negeri. Sehubungan dengan itu, nama stesen telah ditukar kepada Radio 3 Kota Bharu.Radio Malaysia Kota Bharu juga menyumbang beberapa rancangan peringkat nasional seperti rancangan Dikir Barat, Segar dan Mengharum, Pilihanku tetapi diambilalih stesen Kuala Terengganu beberapa tahun kemudian yang dikenali nama rancangan Timur 11.30. RTM Kota Bharu juga menyumbang rancangan peringkat siaran daerah kawasan timur seperti, Dalam kenangan, Dikir Barat, Hanya Untukmu Puan berbentuk kapsul, Permintaan Dariku Untukmu sebuah rancangan bersama RTM Kuala Terengganu dan Kuantan dan banyak lagi.
Bermulanya selama 8 jam sehari dan seterusnya 18 jam sehari bermula dari 06:00 hingga 00:00.pagiPada tahun 1996, nama Radio 3 Kota Bharu telah ditukar kepada Radio Malaysia Kelantan selari dengan penyusunan semula stesen radio negeri-negeri di seluruh negara. RMK boleh diterima siarannya melalui FM stereo dan Gelombang Sederhana di negeri Kelantan, Hulu Terengganu dan Selatan Thailand.Pada 1 April 2005, sempena Penjenamaan Semula Radio Malaysia nama Radio Malaysia Kelantan ditukar kepada KELANTAN fm.Pada 17 Jun 2005, sempena Perasmian Pelancaran Penjenamaan semula Radio Malaysia Kelantan kepada KELANTAN fm, Yang Berhormat Menteri Penerangan Dato’ Sri Abdul Kadir Syeikh Fadzir mengumumankan siaran KELANTAN fm dilanjutkan dari 18 jam kepada 24 jam mulai 1 Ogos 2005. Sejak awal penubuhanya, RTM Kelantan telah diterajui oleh 11 orang Pengarah yang bermula dengan Encik Mohd Tahir Ramli sebagai Penyelia Stesen ketika itu. Kini RTM Kelantan berada dibawah pengurusan Encik Wan Azhan bin Wan Hamat, selaku Pengarah Penyiaran Kelantan.
Operasi harian KELANTANfm dikendalikan oleh 3 bahagian iaitu Bahagian Rancangan, Bahagian Kejuruteraan dan Bahagian Pentadbiran dan Kewangan.
i) Bahagian Rancangan
Bahagian ini mengendalikan semua urusan siaran dan penerbitan rancangan KELANTANfm. Selain mengatur kandungan siaran, bahagian ini bertanggungjawab untuk liputan berita dan penyiaran berita radio KELANTANfm.
ii) Bahagian Pentadbiran dan Kewangan
Bahagian ini bertanggungjawab untuk kendalian semua urusan pentabiran dan kewangan Jabatan Penyiaran Kelantan termasuk urusan pengangkutan.
ii) Bahagian Kejuruteraan
Bahagian Kejuruteraan hanya dianggotai oleh 1 orang Penolong Jurutera J36 untuk menyelaras semua urusan khidmat teknikal khususnya bila melibatkan kerja-kerja liputan luar termasuk program "Radio Di Lokasi"
Piagam Pelanggan
Dalam mencapai matlamat, kami berjanji menyiarkan rancangan-rancangan radio dan TV yang bermutu tinggi, bersesuaian dengan dasar-dasar kerajaan dan aspirasi
negara, memenuhi citarsa penonton/pendengar melalui :
a) Maklumat yang cepat, tepat, padat dan mutakhir
b) Rancangan bermaklumat dan berunsur pendidikan
c) Rancangan-rancangan hiburan yang berkualiti
d) Pemupukan nilai-nilai murni
e) Sikap yang positif dan terbuka